Tuesday 15 September 2015

Aku, Dia & Rezeki

Melayan kerabat.
.
.

Tahun 1990. Duduk bersama penumpang bukanlah satu kesalahan bagi kakitangan yang bertugas. Malahan jika ada waktu terluang, saya juga sering duduk bersama penumpang di sebelah kerusi yang kosong.

Dan hakikatnya. Ramai penumpang yang gembira apabila seorang pegawai tren yang bertugas duduk bersebelahan mereka untuk berbual.
Seperti satu perasaan terharu apabila seorang pegawai yang beruniform dan agak berpangkat, duduk bersebelahan.

Pernah satu ketika. Apabila dalam perjalanan ke Singapura. Tren Siang - Ekspres Rakyat.
Saya telah maklum bahawa ada satu koc telah ditempah khas oleh sebuah keluarga di Raja dari sebuah negeri.

Dan koc itu sebenarnya telah ada Pegawai Keretapi yang Khas untuk menjalankan tugas. Kebiasannya pegawai senior akan dipertanggungjawabkan untuk mengelola koc itu.
Dan saya sebenarnya selesa untuk menjalankan tugasan tanpa mengikut protokol.
Sebaik keretapi melepasi Stesen Seremban. Saya bergerak ke hadapan untuk membuat pemeriksaan tiket ke atas penumpang yang baru naik dari Seremban.
Usai membuat pemeriksaan. Saya berpatah balik untuk berehat di Koc Buffet.
Sewaktu tiba di Koc Buffet. Saya terus ke bahagian kaunter untuk membuat pesanan air.
Seorang gadis yang bertugas di bahagian dapur, dengan senyum meleret telah bertanya. "Encik, boleh tolong tak?" saya hanya mengangkat kening.
"Tak ada orang nak tolong hantar minuman ini kepada dua orang pelanggan itu, Encik boleh tolong hantar?"
Oh itu sahaja permintaannya yang mudah.
Bukannya susah. Lagipun cuma hantar air.
Saya mengangkat dua cawan air di dalam dulang yang disediakan.
Sebaik tiba di meja pelanggan itu. Saya letakkan minuman itu dengan berhati-hati, maklumlah keadaan dalam gerabak yang bergerak dan sesekali agak kuat bergoncang.
"Terima kasih." pelanggan itu mengucapkan terima kasih atas khidmat saya itu.
Selepas itu saya terus memulangkan dulang itu kepada kaunter. Dan saya mengambil minuman saya pula, dan terus duduk di meja bersebelahan pelanggan itu.
"Encik, agaknya keretapi ini boleh sampai JB tepat pada waktunya tak?" pelanggan itu bertanya, mohon kepastian.
"Kalau diikutkan pergerakan sekarang, berkemungkinan akan tiba seperti dijadualkan, insyaAllah. Tuan berdua hendak ke JB?"
Kedua-dua penumpang itu berpandangan sesama sendiri.
Dan kedua-duanya mengangguk.
Saya melayan mereka seperti penumpang yang lain. Namun, saya tetap menggunakan bahasa panggilan hormat ke atas mereka dengan panggilan TUAN.

Hampir sejam kami berbual mesra. Apabila Penyelia Tren tiba.
"Feroz, tolong iring mereka berdua ke Koc Khas, ada jamuan di sana."
Penyelia tren memberikan arahan yang menyebabkan saya terlopong seketika.
Rupanya kedua-dua penumpang yang saya layan itu adalah kerabat Di Raja.
Saya berjalan di belakang mereka dengan pelbagai perasaan.
Sebaik melangkah masuk ke dalam Koc Khas. Dan melihat suasana kegembiraan keluarga Di Raja. Saya menjadi bertambah segan dengan sikap mereka yang begitu ramah.
Sejujurnya, saya berasa amat bimbang disebabkan saya langsung jahil dalam urusan protokol.
Salah seorang kerabat Di Raja yang saya layan itu telah memuji saya di hadapan kaum kerabat yang lain.

Namun, saya memang tidak betah untuk berlama-lama dalam Koc Khas itu.
Saya mohon diri, sambil bersalaman dan mencium tangan kesemua anggota kerabat Di Raja itu.
Sebelum keluar, saya telah diberikan sebuah bekas cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan.
Kedua-dua penumpang kerabat Di Raja yang saya santuni telah menepuk-nepuk bahu saya dengan penuh kemesraan.
Sehingga hari ini. Hanya satu penyesalan yang tidak akan saya lupakan. Saya telah kehilangan cenderahati pemberian keluarga Di Raja itu, sewaktu rumah ibu saya dimasuki pencuri beberapa tahun selepas itu.
Dengan geram saya telah bersumpah. "Aku sumpah orang yang curi barang itu menjadi katak yang tak boleh melompat!"
Tetapi hari ini. Dengan nama Allah, saya telah memaafkan pencuri itu. Saya percaya ada hikmah disisi Allah dengan kejadian itu.
.
.
.










Aku, Dia & Rezeki.
Harga: RM25 + RM7 Kos POS LAJU.

Ada 178 kisah menarik didalamnya.

No comments:

Post a Comment